Tangani Masalah Lemah Kawalan Kencing

Terbitan sihatMalaysia (September, 2019)

Artikel penuh di sihatMalaysia

RAMAI wanita percaya bahawa lemah kawalan pundi kencing sebagai satu situasi normal, dan sesetengah daripada mereka tidak suka untuk membincangkan perkara ini kerana beranggapan keadaan tersebut normal bagi mereka yang semakin meningkat usia terutama dikalangan warga emas.

Jadi, adakah benar kencing tiris atau ‘terkucil’ di kalangan wanita yang semakin meningkat usia itu normal?

Menurut Pakar Fisioterapi Kesihatan Wanita dari Vibrance Pelvic Care Centre, Aleeza Hanee Alykallam, punca kepada permasalahan lemah kawalan kencing ini perlu difahami oleh semua.

PUNCA SEBENAR

Jelas beliau, punca utama masalah lemah kawalan kencing ini berlaku disebabkan oleh otot lantai pelvik yang lemah.

“Otot lantai pelvik berada pada kedudukan paling bawah di pelvik wanita yang berfungsi menahan rahim, pundi kencing dan usus.

Kelemahan lantai pelvik menyebabkan wanita mengalami kesukaran mengawal otot di bahagian bawah pundi kencing sekaligus membuatkan mereka mudah terkencing sedikit apabila batuk, bersin atau ketawa.

Terdapat pelbagai sebab otot pelvik menjadi lemah antaranya proses kehamilan, kehamilan yang kerap, sering mengangkat berat, obesiti, bersalin secara normal mahupun pembedahan, menopaus, kerap sembelit (kerap meneran di di dalam tandas) dan sakit belakang.

“Mungkin ada benarnya sesetengah fisiologikal akan berubah dengan pertambahan usia, namun kelemahan lantai pelvik disebabkan oleh faktor penuaan ini boleh dikawal untuk mengelakkan berlaku masalah lemah kawalan kencing.

Oleh itu, masalah lemah kawalan kencing ini boleh diatasi meskipun semakin meningkat usia.

Kaedah untuk mengekalkan kekuatan lantai otot pelvik dan kekal sihat ini boleh dilakukan dengan latihan otot pelvik yang betul.

SENAMAN KEGEL

“Walaupun ia senaman yang mudah namun ramai yang tidak tahu melakukannya dengan betul.”

“Kesilapan dalam melakukan senaman boleh menyebabkan komplikasi lain,” jelasnya.

Tambah Hanee, senaman itu mudah kerana melibatkan otot dalaman dan ia boleh dilakukan semasa pantang tanpa perlu risau tentang keupayaan atau pergerakan berat oleh seseorang wanita.

Senaman Kegel dapat menguatkan otot dan melancarkan peredaran darah. Mengambil masa lima minit dan melakukan tiga set dalam sehari.

“Kaedahnya boleh dilakukan secara slow twitch dan fast twitch dalam satu-satu set,” jelas Hanee.

Slow twitch merujuk kepada proses menguncupkan otot tersebut kira-kira lima hingga ke 10 saat manakala fast twitch merujuk kepada menguncup dan melepaskan otot secara berulang tanpa menahan kuncupan.

Tambah beliau, senaman berkenaan juga tidak terhad kepada ibu yang berpantang atau mengandung, malah boleh dilakukan oleh semua orang termasuk lelaki. Ini kerana mengangkat beban yang berat selain pembedahan untuk prostat lelaki juga boleh melemahkan otot lantai pelvis.

Kegel boleh dilakukan dalam beberapa posisi. Dalam posisi baring, kaki hendaklah dibengkok ke atas. Kemut selama 10 saat dan ulang sebanyak 10 ke 15 kali. Untuk posisi merangkak, angkat tangan kanan dan kaki kiri sebelum menguncupkan otot itu selama 10 saat. Ulang sebanyak 10 kali dan selepas itu, tukar kepada tangan kiri dan kaki kanan.

Untuk posisi cangkung, bengkokkan kedua-dua lutut kemudian turunkan pinggul secara perlahan-lahan. Bawa kedua-dua tangan ke hadapan dan lakukan senaman selama 10 saat dan ulang sebanyak 10 ke 15 kali.— al-Siha


Cubalah Sesi Terapi Kegel Untuk Masalah Kawalan Kencing

Kami fahami bahawa senaman Kegel boleh menjadi cabaran kepada sesetengah wanita kerana otot lantai pelvik tidak dapat dilihat dengan mata kasar kita. 

Kami syorkan sesi fisioterapi dengan ahli Fisioterapi Kesihatan Wanita bagi mengekalkan dan mengembalikan fungsi dan kesihatan pelvis anda. 

Untuk maklumat lebih lanjut, sila hubungi Vibrance dan fisioterapi kami akan membantu anda menangani masalah kawalan kencing.

⟵ Back to Uncategorized
×