Jalani rawatan apabila perlu

By Harian Metro (12 Nov 2019)

Jalani rawatan apabila perlu

ADAKAH selaput dara itu penting? Ya, khususnya apabila ia dilihat dari sudut menjaga maruah. Dalam Islam seorang yang melakukan hubungan sebelum berkahwin dianggap berdosa kerana melanggar hukum agama.

Ada yang terlanjur dan kemudian insaf cuba melakukan sesuatu bagi memastikan selaput dara itu pulih semula untuk menutup kesalahan yang mereka lakukan sebelum itu.

Bagaimanapun, ia bukan penentu kebahagiaan. Sama ada seseorang wanita itu masih mempunyai selaput dara atau tidak, ia tak menjanjikan kepuasan ketika mengadakan hubungan intim dengan suami.

Masyarakat di Malaysia sangat menekankan sesuatu yang tiada kepentingan dan menjadikan isu selaput dara itu sebagai ‘aset berharga’ dalam diri seseorang wanita.

Oleh itu, wujudlah produk atau makanan tambahan yang dikatakan mampu membantu anda memulihkan dara, selain rawatan kosmetik bagi memulihkan selaput dara itu.

Pernahkah anda mendengar pembedahan bina semula selaput dara? Untuk pengetahuan anda, teknik pembedahan kosmetik untuk memulihkan selaput dara menerusi kaedah tampalan atau istilah perubatannya ‘himenoplasti’ kini semakin popular terutama dalam kalangan gadis terlanjur, wanita berduit dan golongan kenamaan.

Himenoplasti atau pembentukan selaput dara ialah pembedahan kosmetik bagi membentuk semula selaput dara yang terkoyak akibat hubungan seks kali pertama, kecederaan ketika bersukan, terjatuh, senaman ekstrem atau onani dengan memasukkan objek keras.

Pembedahan itu membabitkan penampalan membran baharu pada bahagian luar alat kelamin wanita dan mampu berfungsi seperti selaput dara asli.

Namun apakah tujuan anda menggunakan rawatan itu dan mendapatkan semula selaput dara berkenaan?

Pakar Uroginekologi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Bahiyah Abdullah berkata, kepentingan untuk memulihkan selaput dara itu tidaklah sepenting wanita menjaga otot lantai pelvis.

“Memang tidak dinafikan pada bahagian luar bukaan faraj ada selaput dara tapi apabila seseorang itu sudah mengadakan hubungan seks, selaput itu akan terbuka dan terkoyak sedikit.

“Tapi apa tujuan hendak menjalani rawatan memulihkan selaput dara? Saya tidak nampak pun kepentingan untuk mendapatkan semula selaput dara itu. Jika dilihat dari sudut kepuasan ketika mengadakan hubungan kelamin, sebenarnya orgasme atau kepuasan seks tidak memerlukan selaput dara itu.

“Kadang-kadang masyarakat terlampau menekankan sesuatu yang tiada kepentingan. Katakan seorang atlet perempuan yang belum berkahwin, namun aktiviti yang dilakukan memberi kesan pada selaput daranya contohnya apabila dia mengalami kecederaan. Jadi, adakah dia perlu untuk menjalani rawatan untuk memulihkan selaput daranya sedangkan dia tidak melakukan perkara yang terlarang?,” katanya.

Dr Bahiyah berkata, apa yang penting bagi seorang wanita itu adalah menjaga otot lantai pelvis bagi menghindari penyakit seperti kegagalan mengawal air kencing atau masalah kebocoran kerana sehingga sekarang masih belum ada ubat yang mampu membantu anda memulihkan dara atau mengetatkan faraj (vagina).

KETATKAN VAGINA

Selain rawatan selaput dara, proses untuk mengetatkan faraj juga antara yang sering mendapat perhatian. Dua perkara ini sebenarnya saling berkait.

Sejak dulu lagi terdapat pelbagai petua yang menjadi amalan untuk penjagaan faraj misalnya pengambilan akar kayu yang dikatakan mampu mengetatkannya agar kembali anjal terutama untuk wanita yang baru melahirkan anak.

Perkembangan teknologi dalam bidang estetika menjadikan pelbagai pembaharuan dilakukan semata-mata untuk kesempurnaan wanita. Terbaharu, teknologi menggunakan cahaya laser bagi ‘memudakan’ dan menganjalkan kembali faraj mendapat perhatian ramai.

Prosedur itu kini menjadi kegilaan wanita yang sanggup berbelanja ribuan ringgit termasuk ke melabur di negara jiran untuk memulihkan faraj demi kebahagiaan rumah tangga biarpun ia tiada kaitan dengan penampilan luaran.

Wanita tiada pilihan kerana anda dianugerahkan peluang untuk mengandung atau melahirkan anak, namun jika tidak dijaga ia akan memberi kesan sampingan kepada otot dalaman dan kerana itu mereka sanggup berbelanja ribuan ringgit bagi mendapatkan kesan yang cepat.

Pengasas Bersama Vibrance, Teoh Huiyi bagaimanapun tidak menafikan rawatan laser boleh membantu menegangkan faraj seorang wanita seterusnya memberi kesan ketika mengadakan hubungan intim. Bagaimanapun, ia hanya membabitkan bahagian luaran saja.

Pilihan yang lebih baik adalah melalui senaman Kegel. Senaman ini yang boleh membantu menyelesaikan pelbagai masalah wanita. Ia lebih murah dan kesannya juga jauh lebih baik tanpa perlu kos yang tinggi.

“Ketegangan berpunca daripada otot pelvis yang menampung bahagian faraj anda. Apabila otot pelvis anda tegang, secara automatik faraj anda akan menjadi ketat.

“Di sinilah senaman Kegel diperlukan. Ia tiada kesan sampingan malah lebih selamat. Senaman ini akan membantu anda membuatkan otot di sekeliling faraj menjadi tegang dan kuat.

“Biarpun senaman ini mengambil masa dan memerlukan latihan berterusan untuk merasai kesannya tetapi ia mampu mengubah kehidupan seorang wanita. Namun, anda perlu berjumpa pakar atau jurufisio yang boleh mengajar anda cara yang tepat untuk melakukannya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak sebarang teknologi moden dalam membantu anda mendapat kestabilan kehidupan harian.

“Pilihan di tangan anda. Sama ada anda inginkan rawatan moden atau tradisional. Buat pilihan yang tepat untuk kebaikan diri sendiri,” katanya.

INFO

FAKTA SELAPUT DARA

– Selaput dara atau himen adalah lipatan membran yang menutup sebahagian luar vagina.

– Bentuk selaput dara yang paling umum adalah seperti bulan sabit.

– Selepas seorang wanita melahirkan, selaput dara yangtertinggal disebut ‘carunculae myrtiformes’.

– Selaput dara tidak mempunyai fungsi anatomi yang diketahui.

– Selaput dara biasanya tidak rosak kerana sukan atau menggunakan tampon.

– Di saat seorang wanita mencapai usia baligh, selaput dara menjadi anjal.

– Hanya sebilangan wanita melaporkan pendarahan ketika pertama kali mengadakan hubungan seks.

 

Artikel ini boleh didapati dari myMetro.

To book a pelvic consultation, click here. To learn more about the award winning home use pelvic training device, Vibrance Pelvic Trainer, click here. To learn more about the clinically proven holistic pelvic strengthening program, Pelvic360, click here.
⟵ Back to Uncategorized
×