Vibrance – featured in Kosmo newspaper on the 3rd May 2019 under Pesona section title “Kegel bantu lancar peredaran darah, kuatkan otot”.
Setiap wanita mengandung pasti melalui cabaran tersendiri. Perubahan paling ketara adalah terhadap fizikal dan emosi si ibu sepanjang proses kehamilan sehinggalah waktu melahirkan anak. Sepanjang proses itu, ia tidak terkecuali memberi kesan terhadap otot pelvis buat bakal ibu.
Pengasas Vibrance Pelvic Care Centre (Vibrance), Teoh Huiyi berkata, otot tersebut berfungsi untuk menampung pundi kencing, peranakan dan usus. Selain itu, lantai pelvis penting untuk fungsi seksual dan bersama-sama membantu otot abdomen serta otot belakang menyokong tulang belakang.
“Otot tersebut agak nipis dengan tebal hanya sekitar 9 hingga 11 milimeter (mm) sahaja.
“Apabila seseorang wanita meningkat umur dan telah mengalami beberapa kali kehamilan, otot itu akan menjadi lemah akibat tekanan daripada berat bayi semasa tempoh mengandung,” katanya ketika ditemui Pesona di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain mengandung, puncanya yang utama termasuklah obesiti, kelahiran anak, penuaan, sembelit dan gaya hidup yang tidak sihat.
Ujarnya, otot tersebut dilihat lemah apabila mempunyai kesan seperti mengalami kekerapan untuk ke tandas, bahkan dalam kes kritikal, seseorang pesakit boleh mengalami rahim jatuh iaitu sesuatu yang menjulur daripada alat sulit wanita atau lebih dikenali sebagai tombong.
Justeru, penjagaan otot pelvis adalah penting bagi mengelakkan komplikasi-komplikasi yang berisiko timbul kesan daripada kecuaian dalam penjagaan otot berkenaan.
Menguatkan otot
“Walaupun ia senaman yang mudah namun ramai yang tidak tahu melakukannya dengan betul.”
“Kesilapan dalam melakukan senaman boleh menyebabkan komplikasi lain,” kata pakar fisioterapi, Aleeza Hanee Alykallam.
Tambah Aleeza yang berkhidmat di Vibrance, senaman itu mudah kerana melibatkan otot dalaman dan ia boleh dilakukan semasa pantang tanpa sebarang kegusaran mengenai keupayaan atau pergerakan berat oleh seseorang wanita.
Senaman kegel itu antara lain dapat menguatkan otot dan melancarkan peredaran darah.
“Senaman itu mengambil masa lima minit sahaja, dengan tiga set dibuat dalam sehari.
“Kaedahnya boleh dilakukan secara slow twitch dan fast twitch dalam satu-satu set,” jelas Aleeza.
Slow twitch merujuk kepada proses menguncupkan otot tersebut kira-kira lima saat manakala fast twitch merujuk kepada menguncup dan melepaskan otot secara berulang tanpa menahan kuncupan.
Ujarnya, senaman berkenaan bukanlah terhad kepada ibu yang berpantang atau mengandung, malah ia sebaiknya dilakukan oleh semua orang termasuk lelaki. Ini kerana mengangkat beban yang berat selain pembedahan untuk prostat lelaki juga boleh melemahkan otot lantai pelvis.
Kegel boleh dilakukan dalam beberapa posisi. Dalam posisi baring, kaki hendaklah dibengkok ke atas. Kemut selama 10 saat dan ulang sebanyak 10 ke 15 kali. Untuk posisi merangkak, angkat tangan kanan dan kaki kiri sebelum menguncupkan otot itu selama 10 saat. Ulang sebanyak 10 kali dan selepas itu, tukar kepada tangan kiri dan kaki kanan.
Untuk posisi cangkung, bengkokkan kedua-dua lutut kemudian turunkan pinggul secara perlahan-lahan. Bawa kedua-dua tangan ke hadapan dan lakukan senaman selama 10 saat dan ulang sebanyak 10 ke 15 kali.
Layari laman web KegelX dan belajarlah cara bertauliah tanpa kesan sampingan atau risiko negatif kepada badan anda.