Sihatkan Daerah Intim Anda Dengan Terapi Ini

By Herinspirasi (11 Dec 2019)

SIHATKAN DAERAH INTIM ANDA DENGAN TERAPI INI

Anda pasti sudah biasa mendengar tentang senaman Kegel. Bagaimana ia dapat membantu untuk menguatkan otot pada saluran peranakan anda.

Tetapi, adakah anda tahu cara yang betul melakukannya? Ini kerana, apa sahaja yang diajar di bengkel kesihatan malah di internet mungkin tidak tepat buat diri anda.

Pada dasarnya, kita semua memahaminya sebagai senaman kemut pada saluran peranakan. Namun, adakah cara anda ‘kemut’ itu betul dan menggunakan kesemua otot yang berkaitan?

Jelita telah menemui Aleeza Hanee, pakar terapi kanan bagi fisio penjagaan pelvik di Vibrance Pelvic Care Centre, di Jalan Maarof Bangsar untuk mengetahui lanjut mengenai perkara ini.

Menurutnya, pusat berkenaan yang memberi fokus kepada kesihatan daerah intim wanita menawarkan terapi berkaitan untuk wanita yang terutamanya berdepan masalah tidak mampu menahan kencing dan yang berkaitan.

“Ramai wanita berdepan masalah inkontinens atau tidak mampu menahan kencing tetapi enggan berhadapan dengannya atau mendapatkan nasihat yang betul, padahal ada penyelesaiannya. Seperti penyakit lain, sudah tentu pengesanan awal lebih bagus kerana dapat merawatnya dengan baik.

“Jika anda biarkan masalah ini berlarutan hingga 20 atau 30 tahun, berkemungkinan besar anda perlu merawatnya dengan pembedahan atau perlu memakan ubat,” katanya.

Selain itu, bila otot daerah berkenaan menjadi lemah, ia boleh memberi kesan kepada intimasi anda dan suami.

WANITA SELEPAS BERANAK…

Bagi wanita yang sudah beranak, anda akan berasa tempoh berpantang 40 hingga 44 hari itu sudah memadai untuk menguatkan otot di saluran faraj. Dengan anda perlu fokus pada kehendak si kecil, berkemungkinan besar tumpuan tidaklah 100 peratus kepada daerah intim berkenaan.

“Melahirkan anak pasti memberi kesan kepada otot lantai pelvik. Otot berkenaan sebenarnya hanya 11mm dan perlu menampung tiga ‘alat’ tubuh yang penting iaitu saluran kencing, saluran peranakan dan kawasan dubur. Bayangkanlah jika otot berkenaan tidak mendapat perhatian yang betul, ia mungkin sukar menjadi tiang bagi mendukung bahagian tubuh itu.

“Senaman seperti Kegel boleh membantu, tetapi persoalannya, adakah betul cara anda lakukannya? Kerana kebanyakan masa, sepatutnya anda mengemut tetapi bila diperiksa, anda sebenarnya meneran dan itu adalah salah.

“Itu sebabnya anda perlu berjumpa dengan pakar, mendapat penilaian yang betul untuk menyedarinya,” katanya yang menambah, kemutan itu sebenarnya lebih bagus daripada tidak buat langsung!

YANG BIASA ANDA DENGAR…

Anda boleh buat senaman Kegel di rumah tetapi dengan bantuan pakar terapi seperti Hanee, anda boleh belajar melakukannya dengan betul.

Di Vibrance, tersedia pakej penilaian bagi penjagaan pelvik di mana anda berbual secara terbuka dengan pakar terapi untuk mengetahui gaya hidup dan permasalahan yang mungkin dihadapi, terutamanya jika ada masalah inkontinens. Ini kerana masalah tidak mampu menahan kencing perlu dianggap sebagai kehilangan satu fungsi tubuh anda!

Setiap sesi adalah sangat peribadi, hanya anda dan doktor sahaja. Bermakna anda mendapat perhatian penuh daripada pakar terapi.

PENILAIAN PELVIK YANG RAPI

Dalam sesi berkenaan, anda akan ditanya pelbagai soalan berkaitan jumlah anak, permasalah dihadapi, pernah melakukan apa-apa rawatan malah jika anda pernah keguguran juga perlu dikongsikan agar pakar terapi lebih memahami situasi.

Kemudian, imbasan ultrasound dilakukan pada kawasan pundi kencing sewaktu berbaring untuk melihat keadaan lantai pelvik anda. Pakar akan meminta anda melakukan Kegel atau mengemut otot lantai pelvik itu. Satu lekukan akan muncul bila anda melakukan kemutan. Ini adalah pemeriksaan asas yang dilakukan bagi melihat keadaan di daerah itu.

Selepas itu, pemeriksaan menggunakan jari terapi dilakukan pada saluran faraj anda. Usah risau, pakar terapi akan memakai sarung tangan dan meletakkan pelincir bagi memudahkan pemeriksaan.

Keadaan di laluan berkenaan diperiksa, dan pakar terapi akan memberitahu dengan jelas sebelum melakukan setiap pemeriksaan supaya anda tidak rasa gusar. Ia sebenarnya amat membantu kerana faham sajalah, bukan mudah melakukan pemeriksaan sedemikian.

Anda juga akan diminta melakukan Kegel seperti yang anda fahami sebelum pakar terapi memberitahu jika cara anda itu betul atau kurang tepat dan sebagainya. Kemudian, dia akan mengajar cara yang betul namun, perlu diingatkan, anda perlukan beberapa pusingan latihan untuk mahir.

Menariknya, di Vibrance terdapat satu mesin yang mampu mengukur kekuatan kemutan anda menggunakan probe. “Ia bagai satu permainan di mana paparan skrin akan memberi indikasi bila anda perlu melakukan kemutan pada probe itu. Kemudian, anda perlu bertahan mengikut jumlah masa ditetapkan,” kata Hanee.

Ia seakan satu sesi senaman bagi menguatkan otot lantai pelvik dan seperti kelas di gimnasium atau dengan jurulatih, sudah tentulah satu sesi tidak memadai. Latihan demi latihan akan membantu anda memantapkan kekuatan lantai pelvik berkenaan. “Jika anda disiplin dan konsisten, boleh nampak perubahan dalam tempoh sebulan,” katanya.

ADAKAH SENGKAK ATAU URUT SELEPAS BERANAK BERKESAN?

Itu soalan Jelita kepada Hanee.

“Tidak dinafikan yang berurut selepas bersalin akan buat badan terasa ringan, kerana secara umumnya, urutan mampu membantu melancarkan peredaran darah.

“Tetapi, jika ia adalah berkaitan kawasan intim, sengkak atau urut untuk ‘tolak rahim’ tidak berlaku seperti dibayangkan. Anda masih perlu melakukan senaman Kegel untuk jangka panjang bagi menguatkan lantai pelvik yang mendukung rahim anda. Jika anda melakukan ‘sengkak’ tetapi kembali kepada gaya hidup lama, rahim anda mungkin akan kembali kepada keadaan yang sama atau jika dibiarkan mungkin berlaku perkara tidak diingini.

“Nasihat saya, lebih baik dapatkan nasihat perubatan yang bertauliah,” katanya.

Artikel ini boleh didapati di herinspirasi.

To book a pelvic consultation, click here. To learn more about the award winning home use pelvic training device, Vibrance Pelvic Trainer, click here. To learn more about the clinically proven holistic pelvic strengthening program, Pelvic360, click here.
⟵ Back to Uncategorized
×