Usah Abai Otot Lantai Pelvis

By Harian Metro (31st Oktober 2019)

Usah Abai Otot Lantai Pelvis

KETIKA ini ramai wanita khususnya yang masih muda mengambil ringan kepentingan menjaga kesihatan pelvis kerana menganggap ia bukan masalah serius.

Bagaimanapun, jika diabaikan ia boleh mengubah kehidupan mereka sehingga mengundang masalah lain antaranya menjejaskan hubungan suami isteri.

Masalah otot lantai pelvis lemah bukanlah perkara baharu. Sudah acap kali dibincangkan, tetapi kesedaran mengenainya masih agak rendah. Masalah otot lantai pelvis lemah sering berlaku kepada wanita khasnya bagi mereka yang sudah menjalani proses kelahiran, ada masalah obesiti, penuaan, sembelit dan mengamalkan cara hidup tidak sihat.

Dalam pada kita sibuk menjaga kecantikan luaran untuk memikat hati suami, jangan lupa otot lantai pelvis juga perlukan penjagaan demi kesejahteraan rumah tangga. Malah, penjagaan yang baik membolehkan wanita berasa yakin dan selesa dengan diri sendiri.

Andainya anda mengalami gejala mudah ‘bocor’ (terkencing) ketika ketawa, mengangkat barang, bangun dari duduk dan sering tidak sempat sampai ke bilik air, jangan biarkan perkara ini berterusan. Segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.

Walaupun penuaan antara faktor yang boleh menyebabkan berlaku kelemahan otot lantai pelvis ini, ia juga dialami wanita muda.

Model terkenal, Amber Chia mengakui, dia pernah menjalani rawatan selepas mengesan turut mengalami masalah ini.

Amber ketika ditemui ketika menghadiri kempen She Took Charge anjuran Vibrance Pelvic Care Centre bagi meningkatkan kesedaran kepentingan penjagaan otot lantai pelvis ini berkata, banyak perubahan yang berlaku dalam kehidupannya terutama membabitkan hubungan intim selepas menjalani rawatan.

“Suami saya mengakui terdapat perubahan selepas saya menjalani rawatan. Jadi, jangan ambil ringan masalah ini kerana ia boleh dirawat.

“Seperkara yang anda perlu ingat, melengahkan rawatan kerana malu hendak membincangkan masalah ini hanya akan menjejaskan hubungan suami isteri. Hubungan ini sangat penting kerana ia juga akan memberi kesan pada emosi wanita,” katanya.

Kajian Institut Kesihatan Kebangsaan (Amerika Syarikat) menunjukkan satu daripada empat wanita menderita disebabkan masalah otot lantai pelvis lemah.

Bagaimanapun, ramai wanita tidak menyedari faktor penting yang menyebabkan masalah disfungsi ini berlaku dan ia sebenarnya boleh dirawat.

Pakar Uroginekologi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Bahiyah Abdullah berkata, rakyat Malaysia sangat tidak mengambil berat berhubung masalah lantai otot pelvis ini.

Bagaimanapun, bagi masyarakat negara lain, ia bukanlah topik asing kerana ia menjadi isu penting yang sering dikeluarkan di majalah agar dapat memberi kesedaran kepada wanita supaya memahami kepentingan dan kelebihan kesihatan pelvis.

Beliau juga tidak menolak, rasa malu dalam kalangan wanita ini yang menyebabkan ramai mengambil pendekatan mendiamkan diri.

Mereka malu untuk berbincang hal itu secara terbuka termasuk enggan bertemu doktor bagi mendapatkan penjelasan dan rawatan.

Di sebabkan itu Dr Bahiyah berkata, perlunya lebih banyak program yang boleh meningkatkan kesedaran kepada wanita supaya ia tidak menjejaskan rutin kehidupan kerana masalah kerap bocor itu menyebabkan ramai yang mengasingkan diri di rumah.

“Masalah lemah otot lantai pelvis ini adalah tidak normal dan ia boleh menjadi keadaan yang serius sekiranya diabaikan untuk jangka masa lama.

“Ia akan mengganggu kualiti kehidupan seseorang itu malah boleh memberi kesan kepada hubungan seksual dengan pasangan.

“Selain itu, masalah lemah otot lantai pelvis ini boleh mengundang beberapa masalah lain seperti prolaps iaitu ‘jatuh organ pelvis’.

Ini bermaksud organ di dalam pelvis seperti rahim, pundi kencing dan juga usus boleh jatuh (tertonjol keluar) melalui faraj disebabkan tiada sokongan yang kuat oleh otot lantai pelvis.

“Sebahagian wanita juga akan mengalami masalah sukar untuk buang air kecil atau mengawal kebocoran air kencing.

Bagi mereka yang mengalami masalah ‘jatuh organ pelvis’ dan sekiranya dibiarkan bertahun-tahun, ia boleh menyebabkan saluran kencing bengkok (‘kinked’), seterusnya menjejaskan aliran air kencing yang baik.

“Dalam jangka masa yang lama, ini boleh mengakibatkan buah pinggang menjadi bengkak,” katanya.

Oleh itu, semua wanita perlu meningkatkan pengetahuan mengenai penjagaan kesihatan otot lantai pelvis. Bagi mereka yang mempunyai tanda lemah otot lantai pelvis, segeralah mendapatkan pemeriksaan doktor.

Nasihat untuk rawatan yang paling sesuai akan diberikan, sama ada rujukan kepada jurufisio bagi mempelajari senaman Kegel, menggunakan alat sokongan (‘pessary’) ataupun pembedahan .

Lantai pelvis adalah penting untuk memberikan sokongan kepada bayi semasa proses kehamilan. Ia juga membolehkan seseorang mengawal pembuangan air kencing dan najis, serta penting untuk fungsi seksual dan memberikan sokongan kepada tulang belakang.

“Jangan malu untuk mendapatkan rawatan atau berkongsi masalah anda. Ketika ini banyak platform yang disediakan untuk membantu anda sama ada di hospital kerajaan atau pun swasta, bagi wanita mendapatkan maklumat serta nasihat yang boleh membantu anda mengekalkan atau memulihkan kekuatan dan kesihatan otot lantai pelvis anda.

“Dapatkan nasihat pakar demi kesihatan anda dan jangan abaikan perkara ini kerana ia adalah perkara yang tidak normal yang akan mengganggu kehidupan anda,” katanya.

Artikel ini boleh didapati dari myMetro.

To book a pelvic consultation, click here. To learn more about the award winning home use pelvic training device, Vibrance Pelvic Trainer, click here. To learn more about the clinically proven holistic pelvic strengthening program, Pelvic360, click here.
⟵ Back to Uncategorized
×